Bulan Sya’ban merupakan bulan yang mulia, terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia, iaitu bulan Rajab yang merupakan salah satu bulan haram dan bulan Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan umat Islam berpuasa padanya.
Bulan Sya’ban terdapat beberapa kelebihan yang tersendiri sebagaimana yang disebut dalam hadis, namun banyak juga tersebar hadis yang dhaif atau maudhu’ (rekaan) tentang fadhilatnya, untuk menjelaskannya risalah ringkas ini ditulis, semoga menjadi panduan dan peringatan buat kita semua.
Terdapat hadis-hadis yang menyebut Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya’ban.
Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyak berpuasa di bulan Sya’ban?
Maka jawapannya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:
“Yang lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya bertanya:
“Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Sya’ban?”
Baginda bersabda: “Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya yaitu antara Rajab dan Ramadhan. Yaitu bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka aku ingin amalanku diangkat, sedang aku dalam keadaan berpuasa.” [Dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa’i, no. 2221].
Adalah mendukacitakan, ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w tanpa mengira kethabitan iaitu kepastian tentang ketulenan sesebuah hadis, juga tidak meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya. Lebih teruk lagi jika terus disebarkan kepada masyarakat tanpa menjelaskan kedudukannya.
Dengan itu apa-apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah bin Syu’bah:
إنَّ كذبًا عليَّ ليس ككذِبٍ على أَحَدٍ،من كذبَ عليَّ متعمدًا فليتبوَّأْ مقعدَهُ من النارِ. (رواه البخاري)“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”(Riwayat al-Bukhari, Muslim).
Ini termasuk menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.
Hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” [lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut].
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Contohnya, apabila muncul bulan Rejab dan Sya’ban maka hadis-hadis palsu mengenainya akan dibaca dan diajar secara meluas. Ramai
penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu dan malam Nisfu Sya’ban adalah dusta ke atas Nabi s.a.w (kesemuanya adalahPALSU).
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): “Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w”.
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Sya’ban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Kelebihan Khas Malam Nisfu Sya’ban:
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Sya’ban ialah:
عن أبي موسى الأشعري عبدالله بن قيس:
((إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إلا لمشركٍ أو مُشاحنٍ)).
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh].
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan daripada ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Sya’ban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”. [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut].
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).
Mereka hanya membaca hadis yang mereka hafal dan memetiknya tanpa mengetahui dan cuba memastikan kedudukan hadis tersebut.
No comments:
Post a Comment